Didik anak: Berjiwa besar, berani berubah
Untuk informasi terkini My #QuranTime, ikuti di WhatsApp dan Telegram kami
KANAK-KANAK merupakan anugerah terindah yang diamanahkan ALLAH SWT kepada ibu bapa dan mereka bukan sekadar pelengkap keluarga, tetapi juga pewaris masa depan bangsa serta agama.
Sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut pada 20 November setiap tahun, tema “Berjiwa besar, berani berubah” amat signifikan dalam mengingatkan ibu bapa tentang tanggungjawab menyantuni anak-anak dengan kasih sayang, kebijaksanaan dan nilai Islam.
Jiwa besar dalam mendidik bukanlah bermakna membiarkan segalanya, tetapi mendidik dengan sabar dan ikhlas agar anak membesar menjadi insan berani, berakhlak dan beriman.
Bentuk jiwa dari rumah
Dalam Islam, setiap anak dilahirkan suci dan bersih. Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini mengingatkan bahawa pembentukan jiwa anak bermula dari rumah. Justeru, ibu bapa yang berjiwa besar ialah mereka yang tidak mudah marah, tidak cepat menghukum dan sanggup berubah demi menjadi contoh terbaik buat anak-anak.
Rasulullah SAW menunjukkan teladan yang luar biasa dalam menyantuni kanak-kanak. Baginda mencium cucunya, Hasan dan Husain di khalayak ramai, sedangkan ada sahabat yang hairan dengan tindakan itu.

Rasulullah SAW menjawab: “Barang siapa tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Sikap lembut dan kasih Baginda bukan tanda lemah, sebaliknya lambang kekuatan jiwa — inilah makna sebenar berjiwa besar.
Hikmah dalam pendekatan
Ibu bapa juga perlu berani berubah dalam pendekatan keibubapaan. Dalam dunia moden hari ini, kanak-kanak berdepan pelbagai pengaruh luar seperti media sosial dan budaya global.
Cara lama yang keras atau hanya berasaskan hukuman mungkin tidak lagi berkesan. Berani berubah bermaksud sanggup menyesuaikan cara didikan dengan zaman, tanpa mengabaikan nilai Islam.
Jika dahulu anak-anak ditegur dengan suara tinggi, kini mereka perlu didekati dengan komunikasi empati dan hikmah.
Teladan di rumah
Selain itu, ibu bapa perlu menjadi contoh moral dan akhlak. Anak-anak belajar lebih banyak melalui pemerhatian berbanding arahan.
Jika mereka melihat ibu bapa bersabar, menghormati orang lain dan memohon maaf apabila tersilap, mereka akan meniru nilai tersebut dalam kehidupan.
Begitu juga jika mereka melihat keberanian ibu bapa mengakui kesilapan dan memperbaiki diri, anak-anak akan belajar bahawa perubahan bukan kelemahan tetapi kekuatan.
Dalam mendidik anak, mujahadah atau kesungguhan juga amat penting. Membesarkan anak dalam dunia yang penuh cabaran tidak mudah, tetapi ibu bapa berjiwa besar tidak berputus asa.

Mereka memahami bahawa setiap anak berbeza dan perubahan memerlukan masa. Seperti Rasulullah SAW yang bersabar mendidik umat yang pelbagai latar belakang, ibu bapa juga harus terus berusaha dengan doa, bimbingan dan kasih sayang.
Ikhlas mendidik
Akhirnya, semua usaha mendidik anak perlu disertai dengan niat yang ikhlas (muhsin). Ibu bapa yang berjiwa besar mendidik bukan untuk dipuji masyarakat, tetapi kerana amanah Allah SWT.
Mereka tidak mengharapkan kesempurnaan, tetapi berusaha menjadi pembimbing yang penuh kasih, sabar dan istiqamah.
Kesimpulannya, “Berjiwa besar, berani berubah” bukan sekadar tema Hari Kanak-Kanak, tetapi satu seruan untuk semua ibu bapa memperbaharui cara mereka mendidik dan menyantuni anak-anak.
Dengan jiwa yang besar, ibu bapa mampu memaafkan, memahami dan menyesuaikan diri dengan keperluan anak.
Dengan keberanian untuk berubah, mereka mampu melahirkan generasi kanak-kanak yang beriman, berakhlak dan berani menghadapi masa depan dengan kekuatan spiritual dan emosi.
Mendidik anak ialah perjalanan panjang dan hanya mereka yang berjiwa besar serta berani berubah akan mampu membentuk insan yang menjadi rahmat kepada dunia.
***Penulis, ASHLAH IBRAHIM merupakan pensyarah Centre for Fundamental Studies, Management and Science University (MSU).
Kredit: Sinar Islam Plus
Ikuti WhatsApp Channel rasmi My #QuranTime supaya anda tidak terlepas informasi terkini daripada kami. Klik di sini.
Jom layari laman web kami My #QuranTime di pautan berikut: www.myqurantime.org untuk baca artikel serta tonton semula video-video My #QuranTime 2.0

